Monday, March 28, 2022

UMNO tak kuat, tak semestinya menang PRU15 – Tengku Razaleigh

 

UMNO tak kuat, tak semestinya menang PRU15 – Tengku Razaleigh




Kemenangan UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka tidak boleh dijadikan indikator parti berkenaan mampu menang besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Veteran UMNO itu berkata, pemimpin UMNO dilihat gembira dengan kemenangan dua PRN itu namun mereka perlu sedar bahawa kemenangan itu tidak menunjukkan kekuatan parti kerana rakyat masih belum bersama UMNO.

Menurut Tengku Razaleigh, UMNO dilihat lebih banyak memberi tumpuan menyelesaikan masalah parit dan lampu di kawasan kampung semasa kempen PRN Melaka dan Johor tanpa memikirkan isu lebih besar.


Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, untuk memastikan UMNO kuat, parti perlu memperoleh sekurang-kurangnya 50 peratus undian rakyat.

Beliau berkata, namun sebaliknya berlaku pada PRN sebelum ini apabila undi yang diperoleh tidak sampai 30 peratus.

“Apakah kita dapat dua pertiga dalam PRN Melaka dan dua pertiga dalam PRN Johor kita sudah cukup kuat? Tak kuat. Kita tidak dapat sokongan rakyat, banyak orang tak mengundi, bukan sikit orang muda tak keluar mengundi.

“Kita tidak dapat mandat, cuma orang tidak keluar mengundi, yang keluar di Johor  jumlah pengundi 30 peratus lebih walaupun kita dapat dua pertiga, kita patut dapat 50 peratus lebih,” katanya.

Menurut Tengku Razaleigh, UMNO dilihat lebih banyak memberi tumpuan menyelesaikan masalah parit dan lampu di kawasan kampung semasa kempen PRN Melaka dan Johor tanpa memikirkan isu lebih besar.

“Banyak benda tidak dibicarakan semasa PRN seperti dasar luar dan dalam negeri, keselamatan dan sebagainya. Mereka cuma fokus pada parit macam mana, lampu di kampung macam mana,” katanya.

Ditanya sama ada beliau masih berharap UMNO menjadi parti utama memerintah negara selepas PRU15, Tengku Razaleigh berkata, beliau melihat tidak akan ada mana-mana parti mampu menubuhkan kerajaan selepas PRU nanti.

“Saya punya pendapat, dengan sikap yang ditunjuk macam ini, saya rasa tidak ada satu parti yang boleh menubuh kerajaan selepas PRU 15 dan akan berlaku gabungan parti-parti.

“Kata UMNO nak dapat dua pertiga atau lebih daripada separuh dan saya fikir tidak mungkin terjadi selepas melihat keputusan PRN Melaka dan Johor serta Sarawak,” katanya.

No comments:

Post a Comment