Tuesday, November 2, 2021

Pembinaan Negara Bangsa Di Malaysia - Pernah Bermula?

Pembinaan Negara Bangsa Di Malaysia - Pernah Bermula?





Saya merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian bertarikh 1hb Nov 2021 dan juga kepada kenyataan dari Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah pada 29hb Okt 2021. Kenyataan kenyataan tersebut berhubung kait dengan kontroversi Timah Whisky. 

Kedua kenyataan yang dirujuk menyentuh kepada kesan negatif kepada keharmonian kaum akibat komen-komen oleh warga maya dalam media sosial dan juga daripada kenyataan dalam akhbar.

Terdapat ramai orang yang tidak peduli atau tidak ambil berat mengenai kontroversi Timah Whisky ini. Mereka mengatakan bahawa kontroversi ini sengaja dibesar-besarkan oleh pihak tertentu dengan tujuan mengalih perhatian rakyat Malaysia dari isu serius dan besar seperti isu Pandora Papers dan isu RUU355.

Pucuk pimpinan parti PAS berulang kali berjanji kepada ahli dan kepada penyokong mereka bahawa apabila mereka berjaya membentuk kerajaan pusat atau berjaya menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat, maka RUU355 akan menjadi salah satu daripada keutamaan tertingggi mereka.

Sekarang mereka sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat Perikatan Nasional (PN) bersama rakan mereka Gabungan Parti Sarawak (GPS) dari Sarawak. Akan tetapi sehingga hari ini RUU355 belum lagi dibentang di parlimen. Sementara itu, PAS sekarang bersiap sedia untuk bertanding dalam pilihanraya negeri Melaka yang akan berlangsung pada 20th Nov 2021.

Disini saya ingin mengajak semua rakyat Malaysia, terutama sekali rakyat yang berasal dari Sarawak, supaya berfikir mendalam mengenai hala tuju negara Malaysia kita daripada segi pembinaan negara bangsa. Soalan yang wajib kita fikir adalah sekarang adalah, apakah yang kita sebagai individu dan sebagai rakyat biasa boleh lakukan demi mengelakkan negara kita daripada jatuh ke pereputan nasional tahap 4 iaitu tahap terminal.

Terdapat banyak bukti bahawa Rukun Negara, yang diartikulasikan atau digubah dari apa yang pernah dipanggil ‘ 7 Pillars of the Nation ‘, dibuat atau diguna sebagai batu asas dalam usaha pembentukkan pembinaan negara bangsa oleh pemimpin-pemimpin awal Malaysia. Salah satu daripada buktinya terdapat di sistem pendidikan kita. Pelajar-pelajar Malaysia, daripada tahap yang terendah dibangku sekolah wajib hafal dan mengerti apa yang terkandung didalam Rukun Negara. Rukun Negara secara kebiasaannya ditulis dihalaman belakang atau muka surat terakhir buku eksais yang digunakan dalam bilik darjah.

Kita rakyat Malaysia sepatutnya hidup selesa dalam suasana dan keadaan yang penuh dengan kemakmuran, kesaksamaan dan keadilan tetapi keadaan sebenar sekarang sedikit pun tidak mencerminkan apa yang sepatutnya berlaku. Ini adalah kerana pemimpin kita, dulu dan sekarang, langsung tidak endah (ambil endah???) akan kepentingan Rukun Negara dalam kepimpinan mereka. 

Keadaan dimana kita berada sekarang amat menyedihkan. Kaum-kaum di Malaysia sudah menjadi kumpulan yang terkutub keliling bangsa dan agama. Jurang diantara kaum sudah berada ditahap yang amat membingungkan dan menyedihkan. Kalau dulu, kita harap-harap Malaysia akan menjadi syurga kepada kita, malangnya, kita sekarang hidup dalam keadaan dimana sebahagian daripada rakyat ditindas dan dipinggirkan.

Apabila seorang perdana menteri berpendapat bahawa wajarkah dia menghadiri satu perhimpunan gergasi yang dianjur oleh satu kaum, iaitu perhimpunan dimana kaum-kaum lain dimaki dan dihina, dan apabila seorang ahli parlimen menghina secara terbuka didalam parlimen mengenai agama Kristian, maka susah hendak berpura pura bahawa semuanya baik-baik sahaja.

Baru-baru ini, timbul pula kontroversi Timah Whisky. Amatlah sedih apabila dua orang menteri GPS di Sarawak masuk campur dalam kontroversi tersebut. Kontroversi Ini menambah kepada persepsi bahawa Malaysia sekarang sedang menuju kepada status negara apartheid.

Hari ini, ramai pemimpin didalam kerajaan sudah lupa bahawa penghormatan itu boleh dibandingkan dengan jalan dua hala. Menghargai dan memahami hakikat itu dan menggunakan ilmu itu sebagai pedoman akan membawa kepada hormat dan menghormati diantara rakyat atau kaum yang datang dari berbilang latar belakang agama dan bangsa.

Dalam keadaan sekarang, mendengar lagu patriotik boleh menjadi satu pengalaman yang tidak menyenangkan kerana lirik lagu jauh berbeza dengan keadaan sebenar.

Pada 8hb Okt 2021, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah melancarkan konsep Keluarga Malaysia beliau. Dia berkata pimpinan beliau akan perpandu nilai-nilai keluarga yang sempurna. Maka timbul lah harapan bahawa kereputan dalam Malaysia boleh dibendung dan dihentikan. Namun Bajet 2022 yang baru dibentang telah menghancurkan ilusi bahawa esok akan menjadi lebik baik dan cerah.

Bajet 2022 memperuntukkan RM11.4 BILION untuk memperkasakan Bumiputera, istilah atau akronim yang difahami oleh kaum Dayak di Sarawak untuk tidak merangkumi mereka. Anak-anak Sarawak dan Sabah diperuntukkan sejumlah RM10 juta untuk membolehkan mereka lebih memahami budaya dan warisan. Tidak ada satu sen pun peruntukkan untuk menaikkan status kehidupan dan status ekonomi mereka.

Daripada RM75.6 bilion yang diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan, Sarawak cuma diberi RM4.6 bilion atau hanya 6.08% daripada jumlah keseluruhan peruntukan. Perlu juga ditegaskan di sini bahawa pada tahun 2020, Sarawak merupakan penyumbang ke-4 terbesar kepada KDNK negara. Dan untuk lebih menekankan perkara itu, saiz Sarawak, pada 124,449 km persegi, adalah 94% daripada saiz Tanah Melayu. Ketidakadilan dalam belanjawan pembangunan yang diperuntukkan kepada Sarawak adalah sangat terang, seperti matahari tengah hari.

Secara ringkasnya, jawapan kepada penyakit atau masalah yang sedang kita harungi sekarang ini tidak didapati dalam kerajaan persekutuan PN atau mana-mana kerajaan yang dipimpin oleh pemimpin dari UMNO mahupun dari PAS atau dari mana-mana parti politik Malaya yang tidak mempunyai belas kasihan untuk mengengkang ultra dalam barisan mereka.

Percaya atau tidak, keadaan negeri Sarawak yang menakutkan ini adalah hasil perbuatan kita sendiri. Terlalu ramai rakyat Sarawak memilih untuk mempercayai pemimpin yang mulutnya s tertutup  sebaik saja mereka menang dalam pilihan raya dan menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Hari ini kita melihat beberapa wakil rakyat kita yang berada di peringkat atasan kerajaan, selepas menyedari bahawa mereka berada di bawah pengawasan rapi, tanpa merasa malu, mengeluar kenyataan dalam media sosial yang menyatakan mereka  tidak setuju dengan rakan-rakan mereka. Kenyataan dan tindakan yang meradang dari rakan rakan mereka tersebut terus mengoyakkan talisilaturahim masyarakat Malaysia. Ada juga diantara pemimpin pemimpin kita yang mengambil petikan ayat-ayat suci agama mereka untuk cuba menghalang pengundi mereka daripada perbuatan tertentu yang berpotensi mencetuskan sensitiviti rakan sekerja mereka.

Antara perbuatan yang tidak digalakkan ialah meminum minuman beralkohol.

'Pemimpin' ini sememangnya gagal menyedari bahawa kitalah yang memilih mereka untuk menjadi suara kita dalam badan perundangan. Kita memilih mereka dengan mempercayai mereka akan memikul dan menunaikan amanah yang diberi kepada mereka dengan sepenuhnya, namun, mereka hanya seperti 'melepas batuk di tepi tangga' dan sama sekali tidak kisah dan langsung tidak peduli untuk membela nasib kita.

Saya menyeru agar para pemimpin kita untuk menyedari kesusahan yang kita hadapi dan keperluan untuk mereka menjadi suara yang berkesan kerana mereka sudahpun dipilih sebagai wakil kita. Sehubungan dengan itu, mereka mesti mula bertindak dan bersuara di parlimen dan di DUN Sarawak dengan cara yang kita harapkan mereka lakukan, iaitu tanpa gementar dan sependapat dalam menyuarakan aspirasi kita. Jelas disini, tidak memadai jika tugas mereka hanya menjadi fasilitator kepada projek pembangunan di kawasan masing-masing.

No comments:

Post a Comment